
16 MEI 2008
Kampung Pak Kancil, Setiu dipilih sebagai lokasi program Jelapang Padi Negeri yang akan diusahakan di atas tanah berkeluasan 4,000 hektar secara sementara (TOL) bermula bulan depan.
Program yang akan disertai petani tempatan secara sepenuh masa itu bertujuan untuk membantu golongan miskin meningkatkan pendapatan mereka seterusnya membantu meningkatkan bekalan makanan untuk keperluan tempatan pada masa depan.
"Buat permulaan, 100 petani akan diberikan kawasan tanaman padi masing-masing seluas empat hektar dan mereka perlu mengusahakan tanaman tersebut sepenuh masa. Mana-mana petani yang tidak mengusahakan tanah ini, kita akan tarik balik dan berikan kepada orang lain yang lebih berminat," katanya.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata demikian ketika ditemui media pada program Pemimpin Bersama Rakyat, di Padang Astaka, Cukai, Kemaman pada 16 Mei, 2008.
Hadir sama, Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Yang DiPertua Kemaman, YB Encik Mustofa B. Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Dato’ Ahmad berkata sebagai permulaan, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan bagi kerja-kerja membersihkan kawasan berkenaan selain membina pengairan serta menyediakan benih padi kepada petani terbabit.
"Bagi musim pertama ini, kita akan berikan bantuan-bantuan tersebut dan bagi musim kedua, kita mungkin beri bantuan alat membajak dan sebagainya bagi mereka mengusahakan tanaman tersebut sendiri," katanya.
Bagi tempoh jangka panjang, Kerajaan Negeri akan membuka kira-kira 40,000 hektar kawasan tanaman padi menerusi konsep itu, dalam usaha untuk membantu golongan miskin.
"Pada masa ini, kita telah kenal pasti kira-kira 10,000 hektar kawasan tanah sawah terbiar yang berpotensi untuk dimajukan dengan tanaman padi," katanya.
Sebanyak RM40 juta disediakan bagi melaksanakan keseluruhan projek berkenaan, termasuklah memberikan bantuan benih padi dan membuat sistem pengairan.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan membuka kawasan tanaman kelapa sawit di seluruh Terengganu, yang akan diusahakan oleh gologan miskin dan ibu tunggal bagi meningkatkan taraf hidup golongan terbabit.
Sementara itu, hampir 10 ribu pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mendekati pemimpin tertinggi negeri dalam program yang bermula jam 8 malam itu.
Penonton disajikan dengan pelbagai persembahan, termasuklah pertunjukan bunga api, persembahan sihat, tarian singa dan persembahan dari artis tempatan selain 19 gerai makanan dan minuman beraneka produk makanan disajikan kepada pengunjung.
No comments:
Post a Comment