12 MEI 2008Hampir 90 peratus pelatih yang lulus berkursus dalam Program Peningkatan Kemahiran Industri (Insep) Kolej Universiti (Terengganu Advance Technical Institute) Tati (TATiUC) berjaya mendapat pekerjaan masing-masing sejak program itu mula diperkenalkan enam tahun lalu.
Terbaru, seramai 120 graduan berjaya menamatkan kursus Insep yang dijalankan selama enam hingga sembilan bulan di TATiUC yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Dato’ Dr Abdul Latiff Awang.
Program Insep merupakan program di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ditawarkan sejak 2002 dan telah melatih 259 graduan dalam pelbagai bidang.
Antara kursus yang dijalankan di bawah Insep ialah Press Tool and Mould Making, CNC Technology, Water and Waste Water Analysis, Industrial Design, Material Engineering For Industry, CISCO Certified Network Associate (CCNA) dan Industrial Motor Control.
Dalam pada itu, seramai 31 orang graduan baru sahaja mengikuti program Insep kemasukan 2008 melibatkan Industri Motor Control (6 pelatih), Water and Waste Water Analysis (15 pelatih) dan Industrial Design (10 pelatih).
Dato’ Dr Abdul Latiff berkata, TATiUC akan menerima 600 pelajar baru pada kemasukan 2008/2009 berbanding permohonan dari pelajar lepasan SPM/STPM yang memohon mengikuti program diploma, Sijil HND dan Ijazah di TATiUC seramai 3,000 calon.
Sehingga kini, beliau berkata jumlah pelajar yang mengikuti latihan dan pengajian di TATiUC seramai 1,200 orang.
“TATiUC menghadapi kekangan dari segi kemudahan asrama berikutan pertambahan pelajar dari semasa ke semasa dan kita jangka bangunan asrama dan pentadbiran yang sedang dibina akan dapat digunakan sepenuhnya pada Ogos ini,”katanya ketika sidang akhbar sejurus penyampaian Sijil Insep TATiUC, di Mawar Ballroom, Awana Kijal, Kemaman.
Sementara itu, Dato’ Dr Latiff berkata, TATiUC juga akan mengambil 30 pelajar pada kemasukan Jun ini bagi mengikuti kursus baru iaitu kursus Asas Sains Pembantu, selain satu kursus di peringkat Ijazah dalam Kejuruteraan Teknologi Pembuatan.
Dalam pada itu, seramai tujuh pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik iaitu Muhamad Aizuddin Mat Lazim (Kursus Materials Engineering For Industry - Sesi 2006/2007), Dzuhir Mohamad (Kursus CNC Technology -Sesi 2006/2007) dan Mohd Pakhrurazi Mamat (Kursus CNC Technology-Sesi 2007).
Manakala, Masni Mamat Khalid (Kursus Water & Waste Water Analysis(WWA) -Sesi 2006/2007), Aidil Faszrul Abd Rahim (Kursus WWA -Sesi 2007), Nor Nadia Kamarudin (Kursus Industrial Design - Sesi 2006/2007) dan Nor Azlina Abdul Rahman (Kursus Industrial Design-Sesi 2007/2008).
No comments:
Post a Comment