CUACA yang baik tiba-tiba bertukar hujan tidak menghalang hampir 50 ribu pengunjung untuk tidak berganjak bagi menyaksikan atucara sepanjang Majlis Perasmian Stadium Utama, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu, malam semalam (10 Mei 2008). Majlis perasmian disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan menyampaikan titah perasmian sebelum meletakkan tangan pada bola kristal yang diikuti dengan pantulan cahaya tertulis `Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin’ serta tembakan bunga api ke ruang udara.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dalam ucapannya berkata stadium paling canggih, besar dan moden di Pantai Timur itu sudah lama dirancang namun baru kini ia menjadi kenyataan.
Katanya, stadium yang mampu memuatkan kapasiti 50 ribu penonton itu bakal digunakan sebagai venue utama sempena Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu Ke-12 penghujung Mei ini.
“Kerajaan Negeri berasa bangga dengan adanya kemudahan sukan yang termoden di Pantai Timur, menunjukkan pihak kerajaan serius ingin memajukan sukan tempatan seterusnya dapat melahirkan atlit bertaraf antarabangsa,”katanya.
Hadir sama, Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja dan Ahli-ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja; Pegawai Kanan Kerajaan Negeri serta Exco Negeri.
Kemuncak majlis perasmian itu diserikan dengan kemunculan dua artis terkenal negara, Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain yang menyampaikan beberapa lagu popular mereka. Majlis turut diselangi dengan beberapa persembahan kebudayaan dari artis kebudayaan Muzium Negeri dan 1,000 pelajar sekolah dari sekitar Kuala Terengganu dan Marang.
Selain itu, penganjur turut mempersembahkan tarian akrobatik yang dibawa khas dari Cina untuk tatapan umum di majlis yang tamat hampir tiga jam kemudian.
Tambah Dato’ Ahmad, kemudahan yang disediakan kini menuntut atlit tempatan untuk berusaha lebih gigih dalam memajukan bidang sukan yang diceburi seterusnya melonjakkan nama Terengganu di persada dunia.
Kerajaan Negeri akan memastikan stadium dibina bermula 27 Mac 2005 dengan kos RM270 juta oleh tiga syarikat tempatan secara ‘joint venture’ digunakan semaksimum mungkin bagi menjadikan sukan antara agenda utama pembangunan negeri ini.
Sementara itu, perasaaan gembira dan teruja turut dikongsi beberapa pengunjung yang datang dari seluruh pelusuk negeri.
Puan Fauziah Awang, 49, dari Felda Kampung Rahmat, Setiu melahirkan rasa bangga dengan terbinanya stadium paling canggih dan terhebat di Pantai Timur itu.
“Kemudahan sukan yang ada di Terengganu hampir sama seperti di Bukit Jalil, Kuala Lumpur jadi Terengganu kini mampu bersaing dengan negeri maju serta tidak lagi ketinggalan seperti dulu, katanya.
Manakala Puan Norizan Abd Rashid, 47, dari Setiu juga sependapat dan berharap nama Terengganu terus menjadi sebutan ramai.
"Kalau boleh biarlah negeri kita mampu melahirkan atlit sukan yang terbaik di peringkat kebangsaan seterusnya antarabangsa,"katanya.
Pendapat itu turut dikongsi pengunjung dari Kampung Bukit Payung, Marang, Encik Ridzuan Ismail, 27, yang melahirkan rasa gembira kerana Terengganu kini mempunyai kompleks sukan serba lengkap.
No comments:
Post a Comment